Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan

Daripada Ensiklopedia Bahasa Malaysia.

Lompat ke: gelintar
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan
Ditubuhkan: 6 Julai 1956
Diaktifkan: Julai 1958
Pengerusi: Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor
Pengerusi lalu: Tan Sri Muhammad Alias bin Raja Muhammad Ali
Belanjawan: RM1.5 bilion (2005)
Pekerja: 615 (2006)

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP atau FELDA, singkatan untuk Federal Land Development Authority dalam bahasa Inggeris) ialah agensi kerajaan Malaysia yang ditubuhkan pada 1 Julai 1956 di bawah Akta Kemajuan Tanah 1956 bagi menangani penempatan semula penduduk luar bandar Melayu yang miskin agar meningkatkan taraf ekonomi mereka. Agensi ini menumpukan pembukaan ladang pekebun kecil untuk tanaman kontan. Sehingga 2000, FELDA mengusahakan tanah sebanyak 9,000 kilometer persegi, kebanyakannya ladang kelapa sawit. Ini adalah kerana getah sering mengalami harga turun naik, selain daripada menghadapi persaingan yang hebat daripada bahan tiruan.

Sebelum FELDA diletakkan secara langsung di bawah Jabatan Perdana Menteri oleh Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 27 Mac 2004, agensi kerajaan itu diletakkan di bawah Kementerian Kemajuan Tanah dan Pembangunan Koperasi. Namun selepas rombakan Kabinet pada tarikh tersebut, kementerian itu telah dibubarkan.

Pencapaian FELDA

Melalui FELDA, 115,000 keluarga Melayu (dengan tanggungan melebihi 600,000 orang) yang tidak bertanah telah diberikan kemudahan untuk memiliki tanah sendiri dalam 275 tanah rancangan. Di bawah konsep FELDA itu, 800,000 hektar tanah telah dibangunkan dan ditanam dengan pokok getah atau pokok kelapa sawit. Antaranya, dua pertiga tanah itu dibangunkan sebagai kebun kecil oleh peneroka sendiri, manakala satu pertiga lagi dibangunkan mengikut konsep ladang oleh Perbadanan Felda.

Sebuah kedai koperasi di kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Sungei Tiang, Kedah pada 1960.

Peneroka FELDA juga tinggal di kediaman yang lebih selesa, lengkap dengan bekalan air, bekalan elektrik, dan jalan. Sekiranya jalan-jalan di tanah rancangan dicantumkan, panjangnya 5,000 kilometer, iaitu lima kali ganda lebih panjang daripada Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) yang menghubungkan Johor Bahru di selatan dan Bukit Kayu Hitam di utara.[1] Berdasarkan kajian yang dibuat, para peneroka FELDA menikmati pendapatan bulan yang agak lumayan, dengan pendapatan purata mereka dianggarkan tidak kurang daripada RM1,000 sebulan.[2] Lantaran, FELDA kini menyumbang sebanyak RM8.5 bilion kepada pendapatan tahunan negara dan menghasilkan 12.5% daripada keperluan minyak sawit dunia.[2] Kajian itu juga mendapati bahawa pencapaian anak-anak peneroka FELDA dalam pendidikan adalah lebih baik daripada murid di sekolah luar bandar yang lain.[2] 70% generasi baharu FELDA berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti, kolej, dan politeknik awam yang lain, dengan 30% yang tercicir diberikan bimbingan dalam pelbagai bidang kemahiran dalam usaha untuk mengurangkan masalah sosial.[2]

FELDA dibangunkan dengan pinjaman RM8 bilion daripada Bank Dunia dan Kerajaan Persekutuan. Pinjaman itu dijadualkan selesai dibayar pada 2010 tetapi FELDA melangsaikan semua hutangnya pada 1996, 14 tahun lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan. Hasilnya, Bank Dunia mengakui FELDA sebagai suatu program pembasmian kemiskinan yang paling berjaya di dunia.

Ancaman terhadap FELDA

Tuaian tanaman di FELDA kini telah merosot, kecuali bagi kawasan-kawasan yang telah ditanam semula. Namun selepas berusia 50 tahun, para peneroka asal tidak lagi produktif seperti dahulu, dengan usia mereka yang agak lanjut tidak memungkinkan mereka bergerak cergas seperti sewaktu mereka muda. Walaupun kerajaan memberi insentif tertentu seperti bantuan RM1,000 seekar untuk menggalakkan penanaman semula, terdapat sebilangan peneroka yang tidak ghairah. Ada juga yang menjual tanah mereka selepas mendapat hak milik, terutama di kawasan-kawasan yang berhampiran Lembah Klang.[3] Sekiranya menjual tanah dapat menolong mereka mencapai impian, itu tidak bermasalah. Akan tetapi tidak semua menjadi kaya raya kerana gagal mengurus kewangan lalu hidup seperti pengemis di rancangan tanah dan kini menjadi bebanan kepada FELDA.[3]

Selain itu, generasi kedua FELDA juga tidak berminat untuk meneruskan usaha yang telah dirintis oleh generasi pertama. Banyak yang keluar meninggalkan rancangan FELDA untuk mencari kehidupan baharu di bandar. Yang tinggal pula melakukan kerja sambil lewa dan sekadar melepas batuk di tangga sahaja.[3] Di sesetengah rancangan FELDA, tanah rancangan bertukar menjadi kampung tradisional, dengan masalah sosial tersendiri. Kegiatan penagihan dadah, mencuri, maksiat, malah sumbang mahram dilaporkan dari masa ke semasa.[3] Akibatnya, daya pengeluaran dalam kalangan pekebun kecil FELDA merosot. Di tanah rancangan yang diurus mengikut konsep estet, daya pengeluaran kelapa sawit FELDA yang mencapai 20 tan seekar setahun, walaupun melebihi aras pengeluaran negara sebanyak 19 tan, masih mengecewakan, apabila dibandingkan dengan pengeluaran ladang sawit swasta.[3] Inilah satu-satunya alasan mengapa kerajaan British mengambil pekerja dari luar negeri.

Penjenamaan semula FELDA

Felda settlers take their grousers to Suhakam  (Dimuat naik oleh malaysiakini pada 25 Februari 2010)

Supaya FELDA masih dapat bersifat relevan, Tun Abdullah Ahmad Badawi, selaku Perdana Menteri, menggariskan strategi lima perkara sempena Hari Peneroka Negara di Felda Mempaga Dua di Bentong, Pahang pada Januari 2004:

  1. Mempelbagaikan kegiatan ekonomi, industri, dan perniagaan sebagai punca pendapatan tambahan peneroka, selain kegiatan berasaskan perladangan.
  2. Mempelbagaikan kaedah untuk memberi ilmu pengetahuan baharu kepada peneroka, termasuk generasi baharu.
  3. Memastikan program "Satu Wilayah Satu Produk" (Sawari) di setiap tanah rancangan diusahakan secara bersungguh-sungguh.
  4. Mewujudkan lebih banyak industri kecil dan sederhana (IKS) berasaskan tani.
  5. Menggembleng anak-anak generasi kedua peneroka supaya membantu dan menjadi tenaga penggerak setiap program pembangunan dan sosial.

Sewaktu dipertanggungjawabkan untuk menyelia FELDA di bawah Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga menekankan pembangunan usahawan aktiviti bukan ladang, di samping mempelbagaikan aktiviti pengeluaran produk akhir (seperti pemprosesan, pembungkusan, dan pemasaran dengan mempunyai jenama tersendiri sebagai pengeluar dan pengedar dalam kalangan komuniti FELDA) bagi memajukan masyarakat FELDA. Untuk mencapai matlamat itu, FELDA telah memperkenalkan pelbagai skim insentif untuk menggalakkan peneroka menjadi usahawan kerana pendapatan daripada hasil kebun antara RM1,000 hingga RM1,2000 sebulan kini tidak mencukupi. Namun dengan memperkenalkan kegiatan bidang ladang dan bidang keusahawanan, kerajaan berharap bahawa pendapatan peneroka FELDA dapat ditingkatkan melebihi RM2,000 sebulan.