Pergerakan Pemuda UMNO

Daripada Ensiklopedia Bahasa Malaysia.

Lompat ke: gelintar
Sehingga peralihan 1980-an, fungsi Pergerakan Pemuda UMNO telah berubah-ubah dengan tidak tentu haluannya dan bergantung kepada ketua pergerakan semasa.
Logo UMNO

Pergerakan Pemuda UMNO ialah sayap pemuda yang dicadangkan oleh Perhimpunan Agung UMNO di Seremban pada Mac 1947 lalu ditubuhkan di Seberang Perai dengan nama "Perikatan Pemuda UMNO" pada 1949,[1] dengan Tun Hussein Onn merupakan ketuanya yang pertama. Tujuan pergerakan ini adalah untuk menarik lebih banyak pemuda Melayu menyertai UMNO.

Bagaimanapun sejak penubuhannya, fungsi Pergerakan Pemuda UMNO telah berubah-ubah dengan tidak tentu haluannya dan bergantung kepada ketua pergerakan semasa sehingga peralihan 1980-an, misalnya:

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang terkini ialah Khairy Jamaluddin.

1.  Era Hussein Onn (1949 - 1950)

Slogan: Hidup Melayu

Pengasas dan ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang pertama ialah Kapten Hussein Onn, anak kepada Datuk Onn Jaafar, pengasas UMNO. Dia menjawat sejak penubuhan pergerakan itu di Seberang Perai pada 1949 sehingga dilantik sebagai Setiausaha Agung UMNO pada 1950. Pada mulanya, pergerakan ini dikenali sebagai "Perikatan Pemuda UMNO".

Hussein bertanggungjawab untuk menjaga hal ehwal pemuda dalam UMNO melalui Jabatan Pemuda yang dibentuk tidak lama selepas UMNO ditubuhkan. Lebih khusus lagi, dia dipertanggungjawabkan untuk menyemai kesedaran terhadap semangat kebangsaan untuk memerdekakan negara di samping menyemai idealisme, jiwa, dan semangat UMNO dalam kalangan generasi muda.

Selepas dilantik sebagai Setiausaha Agung pada 1950, Hussein diwarisi oleh Ahmad Badawi, bapa kepada Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri yang ke-5. Namun Ahmad Badawi hanya memegang jawatan itu selama empat bulan sebelum jawatannya diambil alih oleh Abdul Razak.


2.  Era Abdul Razak (1950 - 1951)

Slogan: Merdeka

Pada Ogos 1950, Abdul Razak menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO sehingga dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua (kini Timbalan Presiden) pada 1951. Di bawah kepimpinan Razak, Perikatan Pemuda UMNO menukar slogan UMNO daripada Hidup Melayu kepada Merdeka. Penukaran slogan itu dicadangkan oleh Samad Idris, pemimpin Gerakan Pemuda Kuala Pilah. Walaupun mendapat tentangan, usul itu yang dibentangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO pada akhir Mac 1951 di Kuala Lumpur diterima oleh majoriti perwakilan dan dengan itu, mengalihkan perjuangan UMNO bukan sekadar untuk menghidupkan Melayu tetapi untuk memerdekakan tanah air daripada penjajahan Inggeris.


3.  Era Sardon Jubir (1951 - 1964)

Slogan: Pemuda di Barisan Hadapan

Di bawah kepimpinan Tun Sardon Jubir, nama "Perikatan Pemuda UMNO" ditukar menjadi "Pergerakan Pemuda UMNO" pada Disember 1955, dengan slogannya ditukar menjadi "Pemuda di Barisan Hadapan". Perjuangan untuk kemerdekaan diperhebatkan, dengan Pergerakan Pemuda memainkan peranan yang penting dalam menetapkan tarikh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.[2] Secara lantang, pergerakan itu mengatakan bahawa ia bersedia merampas kuasa jika tarikh kemerdekaan tersebut tidak dipersetujui. Ahmad Badawi, selaku Naib Ketua ketika itu, ditugaskan untuk menyediakan rangka perjuangan bersenjata. Dia menubuhkan pasukan Barisan 33 untuk merampas senjata di balai-balai polis di kawasan desa, jika diperlukan, dengan anggota Pemuda UMNO di Singapura yang berkhidmat dengan Pasukan Meriam Diraja akan merampas kuasa jika rombongan kemerdekaan Tunku Abdul Rahman gagal. Tetapi apa yang dirancang tidak diperlukan kerana rombongan Tunku berjaya mendapatkan kemerdekaan tanpa berdarah.

Selepas kemerdekaan, Pasukan Pemuda Tahan Lasak ditubuhkan untuk melatih anggota Pemuda dari segi ketenteraan demi memperkukuh parti dan kepimpinanannya. Negara pada waktu itu menghadapi pemberontakan Parti Komunis Malaya yang berazam untuk menegakkan sebuah negara proletariat di Persekutan Tanah Melayu. Selepas darurat tamat pada 1960, muncul pula ancaman konfrontasi Indonesia yang menentang penubuhan Malaysia. Justera, perjuangan Pemuda UMNO sewaktu itu lebih tertumpu kepada politik untuk membakar semangat Pemuda UMNO mengukuhkan kuasa politik.

Di bawah kepimpinan Sardon, takrif tentang siapakah yang sebenarnya layak menganggotai Pergerakan Pemuda juga dibuat, dengan batas umur ditetapkan pada 40 tahun, kecuali untuk jawatan ketua. Perjuangan ekonomi juga mula diberi perhatian dengan penubuhan "Tahan Lasak Company".


4.  Era Senu Abdul Rahman (1964-1971)

Slogan: Pemuda Harapan Bangsa

Datuk Senu Abdul Rahman menewaskan Sardon pada pemilihan 1964, dan selain daripada meneruskan dasar-dasar yang diasaskan oleh Sardon, dia juga lantang dalam bersuara dan mempelopori usaha untuk mengubah set minda orang Melayu dengan melancarkan apa yang dipanggilnya sebagai "revolusi mental". Ini dilaksanakan dengan bekerjasama dengan sekelompok intelektual Melayu yang termasuk Abdullah Ahmad Badawi. Abdullah bertindak sebagai pengarang penyelaras surat berita Revolusi Mental.  Di bawah Senu, Pergerakan Pemuda UMNO turut memperluaskan kegiatan terhadap bidang seni dan sukan, dua kegiatan yang memang diminati oleh golongan muda. Pasukan koir dan angklung diwujudkan, dengan acara sukan diadakan setahun sekali. Walaupun "Tahan Lasak Company" telah ditubuhkan, tumpuan terhadap ekonomi masih rendah dalam pergerakan itu sehingga zaman Datuk Harun Idris.


5.  Era Harun Idris (1971 - 1976)

Slogan: Pemuda Pelopor Pembangunan

Di bawah Datuk Harun Idris, Menteri Besar Selangor ketika itu, Pergerakan Pemuda UMNO melalui fasa perjuangan yang lebih berani dan tampil sebagai pelindung gigih kepentingan Melayu dalam pelbagai segi. Selepas peristiwa berdarah rusuhan kaum 13 Mei 1969, Pergerakan Pemuda UMNO bertindak sebagai kumpulan pendesak dan pemantau terhadap pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Ia juga bertindak sebagai penegur terhadap perjalanan lembab jabatan kerajaan, badan berkanun, dan syarikat milik kerajaan.[3] Malah atas desakan Pemuda UMNO, syarikat strategik yang modalnya dimiliki oleh orang asing kembali ke dalam genggaman orang Melayu, misalnya akhbar The Straits Times yang pada waktu itu dimiliki oleh pemegang saham Singapura. Selain itu, Pergerakan Pemuda UMNO membuat keputusan untuk menceburi bidang perniagaan. Syarikat insuran Talasco, singkatan untuk Tahan Lasak Company, ditubuhkan.

Harun turut memperkenalkan jentera Pemuda UMNO di pelbagai peringkat, bermula dengan cawangan, bahagian, dan negeri. Anak muda Melayu yang berbakat dan golongan profesional dibawa masuk ke dalam Pemuda UMNO. Hasilnya, Harun dan barisan jawatankuasanya menjadi pujaan sehingga ada kalanya, perjuangan Pemuda UMNO tidak sehaluan lagi dengan badan induk. Ini memaksa Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, Timbalan Presiden UMNO ketika itu, mengingatkan Pemuda UMNO supaya jangan menjadi "parti di dalam parti".

Pergerakan Pemuda UMNO akhirnya berkrisis dengan pucuk pimpinan, dengan usaha dibuat untuk menyingkirkan Harun. Pada 1975, Tun Razak melantik Harun sebagai Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu. Bagaimanapun, Harun menolak tawaran itu. Namun pada tahun itu, Tan Sri Abdul Samad Idris, Menteri Kebudayaan, Belia, dan Sukan, ditaja untuk melawan Harun pada pemilihan Ketua Pemuda. Malangnya, dia ditewaskan oleh Harun.

Krisis Harun dengan pucuk pimpinan menjadi terbuka selepas Razak meninggal dunia pada 14 Januari 1976 dan berkesudahan dengan pemecatan Harun daripada kedua-dua jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dan Menteri Besar Selangor pada 1976. Harun ditangkap oleh Tun Hussein Onn yang menjadi Perdana Menteri kerana skandal rasuah Bank Rakyat, suatu skandal yang biasanya bukan jenayah di mata pucuk pimpinan UMNO.


6.  Era Syed Jaafar Albar (1976 - 1977)

Slogan: Pemuda Kumpulan Halia

Ekoran pemenjaraan Datuk Harun Idris, Tan Sri Syed Jaafar Albar, seorang veteran UMNO berusia 62 tahun yang menunggang sentimen pro-Harun, dilantik sebagai Ketua Pergerakan Pemuda pada Julai 1976. Dia menukar peranan Pergerakan Pemuda UMNO daripada sebuah kumpulan pendesak kepada kumpulan halia.[4] Selain itu, Syed Jaafar juga merapatkan semula kerenggangan hubungan antara Pergerakan Pemuda dengan badan induknya. Malangnya, enam bulan selepas menyandang jawatan itu, dia meninggal dunia pada 14 Januari 1977.


7.  Era Shuhaimi Kamarudin (1977 - 1982)

Slogan: Pemuda Era Bertindak

Suhaimi Kamaruddin, selaku Naib Ketua Pergerakan Pemuda ketika itu, menyandang jawatan ketua pergerakan ini sehingga ditewaskan oleh Anwar Ibrahim pada 1982. Dia yang merupakan anak saudara Datuk Harun Idris diharapkan seradikal dengan Harun Idris.

Bagaimanapun, di bawah Suhaimi, hala tuju Pergerakan Pemuda seolah-olah tidak menentu. Sebaik sahaja mengambil alih, dia mengumumkan "era bertindak". Akan tetapi sewaktu diberikan jawatan di kedua-dua peringkat negeri dan persekutuan, dia mengubah peranan Pergerakan Pemuda daripada kumpulan pendesak menjadi peranan menyokong kerajaan. Suhaimi mencuba mendapatkan semula kedudukan Ketua pada pemilihan 1984 dengan janji untuk mengembalikan peranan pergerakan itu sebagai kumpulan pendesak, tetapi gagal dengan kekalahan yang besar. Kegagalan itu menyebabkan kerjaya politik Suhaimi turut berkubur.


8.  Era Anwar Ibrahim (1982 - 1987)

Slogan: Pemuda Penggerak Zaman

Anwar Ibrahim, bekas pengerusi ABIM dan calon Presiden PAS, menjadikan Pergerakan Pemuda UMNO sebagai ""Angkatan Penggerak Zaman". Kebanyakan idealisme yang menjadi perjuangannya di luar UMNO, baik sebagai pemimpin siswa mahupun belia, menjadi perjuangan Pemuda UMNO. Dalam ucapan dasarnya yang pertama sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada 18 Ogos 1983, dia mengisytiharkan bahawa Pergerakan Pemuda "bukannya mempertentangkan pendapat dengan badan induk. Penubuhan Pemuda adalah untuk membina semangat rakyat dan kesedaran kebangsaan Melayu dalam pemerintahan negera, memperjuangkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan." Justera, Pemuda UMNO di bawahnya tidak akan mengambil sikap berkonfrontasi dengan pemimpin. Bagaimanapun, dia tidak mahu Pemuda lari dari tugas menegur dan mengkritik.[5]


9.  Era Najib Tun Razak (1987 - 1993)

Slogan: Pemuda Berakar Teguh Berakal Canggih

Berikutan keputusan Anwar Ibrahim bertanding Naib Presiden pada 1987, Najib Tun Razak secara automatik memangku jawatan Ketua Pergerakan. Sewaktu itu, dia hampir-hampir ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana kelantangannya mempertahankan ketuanan Melayu tetapi nasibnya, Najib bukannya orang biasa tetapi mempunyai kekebalan daripada ditangkap. Dia dipilih secara rasmi pada pemilihan 1988.

Apabila UMNO diharamkan pada awal 1988 lalu dihidupkan semula, Najib dilantik sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO (Baru) oleh Tun Mahathir Mohamad selaku Presiden UMNO (Baru) pada 21 Mei 1988 selama 3 tahun. Ini kerana di bawah struktur UMNO (Baru), jawatan Ketuan Pemuda dan Ketua Wanita dibuat secara lantikan oleh Presiden, bukan dipilih secara langsung seperti sebelum itu. Tugas pertamanya adalah untuk menghidupkan semula Pergerakan Pemuda pada semua peringkat (negara, negeri, bahagian, dan cawangan) dengan menubuhkan barisan kepimpinan penaja, diikuti dengan pengambilan anggota.

Tidak lama selepas itu, pindaan Perlembagaan UMNO (Baru) dibuat bagi mengembalikan perwakilan Pemuda dan Wanita memilih ketua masing-masing secara langsung. Pada pemilihan 1989, Pergerakan Pemuda mengesahkan statusnya sebagai Ketua Pemuda UMNO yang dipilih. Pada 1993, Najib memutuskan untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO dan dengan itu, meletakkan jawatannya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda.


10.  Era Rahim Thamby Chik (1993 - 1996)

Slogan: Pemuda Era Motivator & Penggerak Wawasan

Pada 3 November 1993, Tan Sri Rahim Thamby Chik, Ketua Menteri Melaka yang juga dikatakan merupakan anak emas Tun Mahathir Mohamad, dipilih sebagai Ketua Pemuda. Sebaik sahaja menang, dia memperkenalkan apa yang dipanggilnya sebagai "Pemuda Era Motivator". Ekoran tuduhan rogol statutori terhadap seorang perempuan bawah umur, maka jawatannya itu dipangku sementara oleh Mohamed Nazri Abdul Aziz. Selepas tuduhan itu ditarik balik atas alasan yang tidak perlu dijelaskan, Nazri membuat tawaran terbuka kepada Rahim untuk kembali memimpin Pergerakan Pemuda. Tawaran itu dirujuk kepada Majlis Tertinggi UMNO yang memutuskan pada 16 Januari 1996 untuk menyerahkan semua jawatan Ketua Pemuda kepada Rahim.


11.  Era Ahmad Zahid Hamidi (1996 - 1998)

Slogan: Pemuda Pemangkin Gerakan Reformasi

Ahmad Zahid Hamidi nampak sealiran dengan Anwar Ibrahim. Pada 1998, dia bersuara berterus terang tentang kronisme dan nepotisme dalam kerajaan. Diperlihatkan sebagai sekutu Anwar Ibrahim, dia kemudian ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) [6] lalu meletakkan jawatannya sebagai Ketua Pergerakan pada 1 Oktober 1998.

Bagaimanapun, Zahid disambut kembali ke UMNO pada 1999 selepas dia menuduh Anwar bahawa Anwarlah yang mendesaknya menimbulkan tuduhan kronisme dan nepotisme serta mendakwa bahawa Anwarlah yang menyalahgunakan kedudukannya sebagai Menteri Kewangan untuk menujukan peluang perniagaan kepadanya.[7]


13.  Era Hishammuddin Tun Hussein (1998 - 2008)

Hishammuddin Hussein mengugut orang bukan Melayu supaya jangan menyoal kontrak sosial, ketuanan Melayu, atau hak Melayu dalam Mesyuarat Agung Tahunan UMNO 2005, peristiwa pertama antara tiga peristiwa berturut-turut yang serupa pada tahun-tahun berikutnya.

Hishammuddin Hussein kemudian dipilih oleh Dr. Mahathir sebagai Ketua Pemuda Umno yang baharu. Era Hishamuddin terkenal kerana telatah badut yang menggelikan hati, seperti:

Walaupun Hishammuddin seolah-olah menganggap dirinya sebagai undang-undang, kita tidak boleh menyalahkannya kerana sebelum itu, dia dibebani dengan imej lembik dan penakut.[9] Mungkin disebabkan oleh perbuatannya yang digemari oleh sebahagian besar pemuda UMNO yang jelasnya kurang matang pemikiran mereka (apabila diperlihatkan daripada segi konsep 1Malaysia), maka Hishammuddin kemudian menang jawatan Ketua Pemuda Umno beberapa kali tanpa bertanding.

Di bawah kepimpinannya, Pergerakan Pemuda begitu mewah dengan projek-projek yang berselindung di sebalik projek Kementerian Pelajaran,[9] dengan rancangan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) memberi keuntungan yang besar kepada para kontraktor dan pemimpin yang rapat dengan Menteri Pelajaran.[9] Misalnya, sebahagian besar pembangunan makmal komputer, pemberian komputer riba, pembangunan perisian multimedia, kontrak secara runding terus, serta pelbagai projek yang lain telah dikatakan diagih-agihkan hanya dalam kalangan 'orang-orang' Hishammuddin dan Khairy Jamuluddin.[9]


14.  Era Khairy Jamaluddin (2009 - kini)

Khairy Jamaluddin

Semasa berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO 2009, Khairy Jamaluddin bertanding untuk jawatan Ketua Pergerakan Pemuda selepas Hishammuddin Hussein meletakkan jawatan itu. Suatu kontroversi tercetus apabila Khairy yang didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin UMNO kerana terlibat dalam politik wang [10] dibenarkan bertanding, manakala orang yang lain seperti Mohd Ali Rustam yang juga didapati bersalah atas kesalahan yang tepat sama tidak dibenarkan berbuat demikian dalam pemilihan itu. Walaupun Khairy menang dan menjadi Ketua Pergerakan Pemuda, namun dia "dihukum" dengan tidak diberikan jawatan menteri dalam kabinet Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, seperti yang diberikan kepada Hishamuddin Hussein selaku Ketua Pergerakan Pemuda.


Pautan luar