Sulalatus Salatin

Daripada Ensiklopedia Bahasa Malaysia.

Lompat ke: gelintar
Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu)

Sulalatus Salatin  atau Sejarah Melayu  ialah karya sastera Melayu yang membabadkan salasilah raja di kepulauan Melayu dan menjangkau masa melebihi 600 tahun. Versi yang asal ditulis sewaktu pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka dan dibawa oleh Sultan Mahmud Shah bersama-samanya sewaktu melarikan diri daripada orang Portugis pada 1511. Naskhah itu kemudian dibawa ke Johor dari Kampar pada 1528 lalu dirampas oleh orang Portugis pada 1536, sewaktu menyerang Johor Lama. Bagaimanapun, ia akhirnya dibawa balik ke Johor oleh Orang Kaya Suguh dari Gowa.

Pada 13 Mei 1612, Yang di-Pertuan Di Hilir dari Johor, Raja Abdullah (juga dikenali sebagai Raja Bongsu dan kemudiannya, Sultan Abdullah Mu'ayat Syah ibni Sultan Abdul Jalil Syah), menitahkan Seri Nara Wangsa Tun Bambang (kemudian digelar Tun Bambang) agar meminta Bendahara Paduka Raja Tun Muhammad Mahmud (juga dikenali sebagai Tun Sri Lanang) untuk menyunting naskhah Orang Kaya Suguh. Oleh sebab Kesultanan Johor sedang mengalami krisis politik sewaktu itu, namun desakan untuk mendapatkan kesahan politik mengakibatkan Raja Abdullah mengubah salasilah dan pentarikhan dalam buku itu. Bagaimanapun, baginda dan seluruh orang istananya dibuang negeri ke Aceh pada tahun tersebut, sewaktu penyerang Aceh memusnahkan ibu negerinya di Batu Sawar. Justera, walaupun sebahagian besar kerja penyuntingan dan penyusunan buku tersebut disiapkan di Johor, buku itu hanya dapat disiapkan sewaktu Tun Sri Lanang dalam tawanan di Aceh.[1]

Pada 2001, Sulalatus Salatin  telah disenaraikan dalam Daftar Memori Dunia Antarabangsa (MWIR).

Isi kandungan

Isi kandungan Sulalatus Salatin  merangkumi:

  • pengasasan Kerajaan Melayu Melaka dan hubungannya dengan kerajaan-kerajaan berjiran;
  • pengenalan dan penyebaran agama Islam di wilayah;
  • sejarah kerabat diraja di wilayah; dan
  • hierarki pentadbiran kerajaan Melaka dan negeri-negeri penggantinya.

Manuskrip Sulalatus Salatin  pada asalnya ditulis dalam bahasa Melayu klasik pada kertas tradisional dalam huruf Jawi.